Photobucket

Monday, June 21, 2010

SANTAPAN ROHANI
Kelolaan: Norhayati Hj. Ramlee

IKHLASKAH ANDA? (part 1)

Apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas? Ramai di antara kita masih tercari-cari atau kurang memahami malah ada yang salah faham dengan perkataan ini. sebenarnya ikhlas itu adalah rahsia tuhan hinggakan para malaikat pun tidak tahu anda yang empunya diri pun tidak dapat mengesannya. Ia adalah penentu sama ada amalan diterima atau ditolak.

Ada para sahabat apabila mendengar tentang ikhlas, mereka menangis kerana merasa tidak selamat dan tidak mungkin memperoleh ikhlas itu kerana begitu tinggi nilai dan susah untuk mendapatkan sifat ikhlas itu.

Islam tidak membenarkan seseorang mengaku ikhlas. Siapa yang mengaku ikhlas walaupun sebelum ini ikhlas, automatik, ikhlasnya terbatal. contoh-contoh bagaimana yang dikatakan mengaku ikhlas: Membantu seseorang sambil berkata, "Ambil lah, saya ikhlas...." Menolong seseorang tapi pertolongannya ditolak. "Saya tolong awak ni ikhlas, tapi sedih, awak menolak.," Dalam menulis surat kita selalu mengakhiri dengan tandatangan, "Yang ikhlas" "Yang Benar". Dalam Islam, mengaku baik adalah salah. Siapa yang mengaku ikhlas, siang-siang lagi terbatal. Tiada siapa yang mengetahui siapa yang ikhlas sekalipun yang empunya diri. Tiada siapa yang berhak mengaku ikhlas, Cuma berusaha moga-moga jadi ikhlas dan moga-moga diterima Allah.

ERTI IKHLAS

Erti ikhlas itu ialah murni, bersih, jenis dia sahaja, tidak bercampur jenis-jenis yang lain. Tidak dinodai seperti air yang tidak bercampur dengan sabun, tepung, sebab apabila sudah bercampur dengan benda lain, sudah tidak tulen lagi (tidak pure).

Begitulah dalam beramal, solat, zakat, baca Quran, mengajar, berdakwah, menolong, motivasi, forum, ceramah, belajar, semata-mata kerana Allah:

1. Kerana suruhan-Nya
2. kerana keredhaan-Nya
3. kerana arahan-Nya
4.
kerana mentaati-Nya
5. kerana patuh pada-Nya

Justeru perkara di atas adalah dari sebab atau kerananya yang satu, tujuan satu, dan didorong oleh yang satu iaitu ALLAH. Abdikan diri kerana Allah, tidak di campur atau bercampur selain Allah - itulah ikhlas - dorongannya satu. Apa yang berlaku atau hendak berlaku atau tidak jadinya sesuatu, tidak timbul sama sekali kerana niat kita semata-mata kerana Allah. Sekiranya niat, dorongannya telah tercampur atau terselit niat-niat yang lain selain dari Allah seperti kerana riak, megah, glamor, pangkat, orang meminta, takut orang tidak suka, mental exercise, boring tinggal di rumah, undi, uji kemampuan, hendak berlawan, hendakkan piala, hadiah, kerana kawan, maka ia tidak ikhlas atau ikhlas telah ternoda. Dengan itu boleh jatuh syirik khafi. Di akhirat nanti Allah menyuruh dia meminta pada orang yang dia niat kerananya. Allah tidak balas kebaikan itu kerana ia mempunyai "kerana-kerana" yang selain dari "kerana Allah".

Monday, May 24, 2010

LELAKI BERSALAMAN DENGAN WANITA


Amalan kunjung -mengunjungi dan ziarah-menziarahi ialah satu amalan mulia. Namun, dalam menghubungkan tali silaturahim ini masih ramai yang tidak mengetahui beberapa hukum penting berkenaan adab-adab Islam terutama berkaitan batas-batas hubungan antara lelaki dan wanita. Walaupun kita digalakkan merapatkan hubungan antara kaum kerabat terdekat, hubungan tersebut ada batasnya. salah satunya ialah hukum ajnabi. Ramai di kalangan masyarakat tidak menyedari perbuatan bersalam-salaman antara sepupu lelaki dan wanita atau antara seorang wanita dengan bapa saudara suaminya atau sebaliknya termasuk dalam hukum larangan bersalaman wanita dengan lelaki ajnabi. Umaimah pernah berkata "kami berkata bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih mengasihiani kami daripada diri kami, ayuhlah kami ingin berbaiah denganmu wahai Rasulullah." Lalu Nabi s.a.w. menjawab : " Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita, sesungguhnya perkataanku kepada seratus orang wanita adalah seperti perkataanku kepada seorang wanita."

KEBERKATAN WAKTU



Keberkatan yang paling penting ialah keberkatan dalam hidup dan keberkatan dalam waktu kita. Yakinilah, kita diciptakan untuk suatu tugas yang amat penting, dan waktu ialah modal penting, dan waktu ialah modal yang penting untuk dapat menunaikan tugas tersebut dengan baik.

Tanpa keberkatan dan pengurusan waktu yang baik, kita tidak akan dapat menunaikan tugas tersebut dengan sempurna. Oleh sebab itu, bagi hamba-hamba Allah yang sejati, waktu jauh lebih mahal dan lebih berharga daripada wang dan harta benda apa pun di dunia ini..

Friday, February 19, 2010

Assalamualaikum......buat semua saudara - saudara ku di luar sana.....maaf saya pohon kerana lama rasanya tak ke laman ini...., Buat masa sekarang Muhammad Qisti Raid iaitu anakku tidak bersama kerana ada diluar kota buat sementara waktu... jadi untuk tidak menyepi begitu saja saya akan sajikan satu renungan yang akan kita kongsikan bersama yang saya petik dari "Diari Mukminah"

RENUNGAN

BERWUDUK ZAHIR DAN BATIN

Suatu hari, Isam bin Yusuf menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya: "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin." Isam bertanya: "Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?" Hatim berkata: "Wuduk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh hati dari tujuh perkara:

-Bertaubat.
-Menyesali dosa yang telah dilakukan.
-Tidak tergila-gilakan dunia.
-Tidak mengharap pujian orang.
-Tinggalkan sifat riak.
-Tinggalkan sifat khianat dan menipu
-Meninggalkan sifat dengki

"Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan seolah-olah aku sedang berhadapan dengan Allah, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat Maut berada dibelakangku, dan aku bayangkan pula seolah-olah berdiri di atas titian siratul mustakim dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku. Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. "Hatim menyambung lagi: "Setiap bacaan rukuk dan sujud dengan tawaduk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."